Ahad, 13 November 2016

OKTOBER 25TH, 2016
Kuala Lumpur: UEM Group Berhad (UEM Group), sudah melatih seramai 1,550 graduan menerusi Skim Latihan 1Malaysia-Skim Eksekutif Muda (SL1M-YES) yang diperkenalkan sejak 2006 dan memberi peluang pekerjaan di bawah syarikat UEM Group.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UEM Group, Datuk Izzaddin Idris berkata, pada hari terbuka SL1M-YES tahun lalu saja, terdapat lebih kurang 1,200 graduan baru menghadirinya untuk memenuhi 250 pekerjaan yang ditawarkan.
“Tahun ini, kami menawarkan 400 pekerjaan berbanding 250 ditawarkan tahun lalu dan pada hari terbuka pertama SL1M-YES 2016 yang berlangsung pada 18 dan 19 Ogos lalu, lebih 1,000 graduan luar serta dalam negara hadir.
“Setakat ini, 160 graduan telah berjaya mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan,” katanya di Hari Terbuka SL1M-YES 2016 kali kedua di Mercu UEM di sini, semalam.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan.
UEM Group melabur kira-kira RM5 juta bagi menjalankan program tahunan ini. Program ini membabitkan latihan kemahiran insani wajib selama sebulan dan 11 bulan latihan lain seperti bahasa Inggeris, kemahiran menyelesaikan masalah serta latihan pengurusan masa.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, graduan perlu bersedia menghadapi dunia pekerjaan dan melengkapkan diri dengan kemahiran bertutur dalam Bahasa Inggeris.
“Di era globalisasi ini, Bahasa Inggeris amat diperlukan dan graduan perlu mahir menguasai bahasa utama dunia ini jika mahu berjaya,” katanya.

Tiada ulasan: