Ahad, 13 November 2016


Kerajaan Pertingkat Keselamatan Berkaitan Pelarian Antarabangsa

PARLIMEN
KUALA LUMPUR - Kerajaan bakal menubuhkan sebuah pasukan khas bagi memastikan pengeluaran kad Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) melalui beberapa proses serta prosedur ketat bagi memantapkan lagi sistem berkenaan.
Menurut Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Reezal Merican, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membincangkan kaedah-kaedah yang bakal diambil bagi memastikan pengeluaran kad tersebut bukan sahaja bersifat telus, malah mengambil kira aspek-aspek keselamatan yang ketat.
Jelasnya, pihak UNCHR juga telah mengeluarkan kad baharu bagi menggantikan kad-kad lama yang dipercayai mempunyai kekurangan dari segi keselamatan serta mudah untuk dipalsukan.
Reezal berkata demikian dalam sesi soal jawab lisan bagi menjawab soalan tambahan oleh Ahli Parlimen Rompin, Datuk Hasan Ariffin.
Tambah beliau, pihak yang dipertanggungjawabkan dalam mengendalikan perkara tersebut seperti yang tertakluk di bawah Arahan 23, adalah termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Dalam pada itu, Reezal yang turut disoal mengenai pendirian kerajaan dalam isu UNHCR berkata, kerajaan memilih untuk melaksanakan tanggungjawab dalam apa juga konvensyen atau persatuan yang dianggotainya meskipun berdepan pelbagai kekangan.
"Malaysia melihat sebarang bentuk keanggotaan negara sebagai suatu perkara yang memerlukan tanggungjawab. 
"Ingin saya nyatakan disini bahawa terdapat banyak negara yang telah menandatangani perjanjian keanggotaan seumpama ini, namun apabila tiba di peringkat pelaksanaan, mereka gagal untuk melaksanakan perkara tersebut disebabkan oleh beberapa bentuk kekangan," ujarnya.

Tiada ulasan: