Ahad, 13 November 2016

OKTOBER 21ST, 2016
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mula diperkenalkan pada 2012 menyaksikan limpahan langsung kepada ekonomi negara, termasuklah peningkatan dalam pendapatan boleh guna isi rumah, penggunaan swasta dan output barangan pengguna.
Menurut artikel sisipan di dalam Laporan Ekonomi 2016/17 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, pada 2014, bahagian isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 berkurangan hampir separuh kepada 24.3% (2009: 52.7%), manakala isi rumah berpendapatan antara RM3,000 dan RM5,000 meningkat ketara kepada 30.6% (2009: 23.1%).
Berikutan pendapatan isi rumah yang semakin meningkat, kadar kemiskinan mengecil kepada 0.6 pada 2014, manakala Pekali Gini bertambah baik dalam tempoh sama, menyaksikan pengurangan jurang ketidaksamaan pendapatan kepada 0.401 daripada 0.441, pada 2009.
(Pekali Gini dengan nilai antara “0” dan “1” adalah kaedah digunakan untuk mengukur ketidaksaksamaan. Nilai “0” mewakili “kesaksamaan sempurna” dan “1” mewakili “ketidaksaksamaan sempurna”.)
Menurut laporan itu, pendapatan boleh guna isi rumah adalah penentu utama penggunaan swasta, menyumbang secara purata 67.4% daripada pertumbuhan penggunaan swasta.
Peningkatan pendapatan isi rumah berpendapatan rendah akan menyumbang kepada pertumbuhan penggunaan swasta kerana golongan ini mempunyai kecenderungan marginal lebih tinggi untuk berbelanja.
Satu kajian Bank Negara Malaysia menunjukkan, isi rumah berpendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan secara purata akan membelanjakan 81 sen daripada RM1 pendapatan tambahan, berbanding 18 sen bagi isi rumah berpendapatan lebih daripada RM10,000 sebulan.
Antara 2012 dan 2015, BR1M menghasilkan peningkatan penggunaan swasta sebanyak 7.1% secara purata berbanding 6.8% tanpa pindahan tunai.
Bayaran tunai BR1M bertujuan mengurangkan kesan kos sara hidup tinggi kepada golongan 40% isi rumah terendah (B40).
Kesan segera BR1M dicerminkan oleh peningkatan pendapatan boleh guna kumpulan B40 yang seterusnya meningkatkan pembelian barangan keperluan asas, seperti makanan dan kediaman.
Peningkatan ini secara tidak langsung merancakkan aktiviti domestik melalui penambahan pengeluaran barangan pengguna, ia terbukti dengan peningkatan dalam pengeluaran industri berkaitan pengguna, seperti kediaman, makanan dan minuman, kenderaan bermotor, pemilikan kediaman, tempat penginapan, elektrik dan gas serta kewangan dan insurans.
BR1M merupakan satu bentuk pemberian tunai bersyarat yang diberikan sebagai bayaran tunai kepada isi rumah berpendapatan bulanan bawah RM3,000 dan RM2,000 bagi individu. Pada 2014, bantuan BR1M diperluaskan kepada isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000.
Pada akhir September 2016, sejumlah RM5.4 bilion diagihkan kepada 4.2 juta isi rumah dan 3.1 juta individu bujang.

Tiada ulasan: