Isnin, 26 November 2012


Tokoh-Tokoh Ilmuan Islam Bantu UMNO Perjelas Isu Akidah, Fitnah Pembangkang

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Penerangan UMNO Malaysia hari ini mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh ilmuan agama bagi meluaskan lagi jaringan penerangan UMNO bersama pelbagai kelompok dalam usaha untuk memperjelaskan serta membincangkan isu-isu terkini di samping mendapat nasihat dan pandangan dari kelompok terbabit.
Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Ahmad Maslan berkata, pertemuan dengan ilmuan agama ini diadakan bagi membincangkan serta mendapatkan pandangan dari tokoh-tokoh yang hadir berkenaan isu-isu semasa yang timbul sejak mutakhir ini terutama yang melibatkan soal-soal Islam dan bangsa Melayu.
“Dalam pertemuan yang berlangsung lebih dua jam setengah ini, kami banyak berbincang dan bertukar pandangan serta pendapat dalam isu-isu yang melibatkan soal-soal akidah dan juga kepentingan bangsa Melayu dan negara.
“Antara isu-isu yang dibangkitkan di dalam pertemuan ini ialah mengenai fitnah terhadap Islam, fitnah terhadap UMNO, fitnah terhadap kepimpinan negara yang dilontarkan oleh pihak pembangkang.
“Ini termasuk membincangkan isu-isu terkini seperti soal pluralisme, melayu bebas beragama, isu  doa yang terkeluar dari adab-adab berdoa dan isu memurtadkan ahli-ahli UMNO,” jelas beliau setelah selesai mempengerusikan pertemuan itu di Ibu Pejabat UMNO di sini.
Hasil daripada pertemuan tersebut menurut beliau, golongan ilmuan dan profesional Islam ini bersetuju untuk bersama-sama bagi memperjelaskan isu-isu terutama yang melibatkan soal akidah Islam yang ditimbulkan oleh pihak pembangkang kepada rakyat.
“Alhamdulillah, kita telah mengambil nasihat, pandangan dan pendapat tokoh-tokoh tersebut dan InsyaAllah, kita telah mendapat persetujuan dari kumpulan ini untuk membantu UMNO dan kerajaan bagi mengupas dan memperjelaskan isu-isu terkini kepada rakyat di negara ini.
“InsyaAllah kita akan merencanakan beberapa program penerangan yang akan disertai oleh tokoh-tokoh yang hadir pada hari ini agar mereka ini dapat memberikan penjelasan dengan lebih lanjut berdasarkan syariat Islam dalam masa yang terdekat ini,” ujarnya.
Sebelum ini jelas beliau yang juga merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, beberapa siri pertemuan telah pun diadakan oleh Penerangan UMNO Malaysia dengan pelbagai kumpulan termasuk kumpulan-kumpulan NGO, Bloggers yang melibatkan golongan anak-anak muda termasuk kepimpinan pertubuhan belia di seluruh negara.
Antara tokoh-tokoh ilmuan yang   hadir dalam perbincangan itu ialah Tan Sri Mohd Yusuf Noor, Tan Sri Hamid Zainal Abidin, Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir, Datuk Dusuki Ahmad, Datuk Dr. Ismail Ibrahim, Datuk Dr Munir Yaakob, Datuk Abdul Manaf Ahmad, Datuk Amran Kasimin, Datuk Othman Desa, Pro Dr. Idris Zakaria, Prof Madya Malik Munir, Ustaz Fathul Bari dan lain-lain.
Di samping itu, beliau meminta agar rakyat, khususnya umat Islam di negara ini menggunakan minda yang rasional dan bukan secara emosional dalam menilai apa juga fitnah yang dilemparkan oleh Pakatan Pembangkang terhadap UMNO dan BN agar rakyat dapat melihat kebenaran terhadap dakwaan dan fitnah pakatan pembangkang itu dengan lebih jelas. -MediaUMNO
http://www.umno-online.my/?p=72411

Tiada ulasan: