Ahad, 24 Januari 2010

Syukur Akan Nikmat Allah S.W.T.

Kita sebagai hamba di muka bumi ini tidak akan terlepas daripada menerima nikmat dan rahmat Allah S.W.T. Nikmat yang dikurniakan Allah S.W.T kepada manusia adalah tidak terhitung banyaknya. Ianya tidak dapat disukat dan dihitung. Ini jelas dinyatakan Allah S.W.T dalam firmanNya yang bermaksud;

"Dan sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, nescaya tidak dapat menghitungnya. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang." (Surah an-Nahl, ayat 18)

Allah S.W.T berfirman lagi yang bermaksud;

"Dan Tuhan melahirkan kamu dari perut ibumu tanpa mengetahui apa-apa pun. Dan (kemudian) diberinya kamu pendengaran, penglihatan dan hati supaya kamu bersyukur - berterima kasih." (Surah an-Nahl, ayat 78)

Sesungguhnya manusia ini dilahirkan ke dunia dalam keadaan bertelanjang bulat. Tetapi dilengkapi dengan alat yang diperlukan dalam perjuangan hidup ini.

Lumrahnya, seseorang manusia itu hanya akan menyedari nikmat yang dikurniakan Allah S.W.T kepadanya apabila nikmat itu hilang atau terlepas daripadanya. Andai kata matanya rosak sebelah, kakinya patah, kakinya kudung atau seumpama itu berlaku ke atas dirinya, maka ketika itu barulah berasa sungguh-sungguh bagaimana nikmatnya mempunyai dua biji mata, mempunyai kaki dan tangan tidak cacat. Begitu juga apabila negara kita Malaysia ini yang aman dan damai pada mulanya cuba dicemar dan diporak perandakan oleh sesetengah pihak supaya kita tidak bersatu padu serta mengalami perpecahan yang akhirnya kita berperang sesama sendiri.

Oleh itu peliharalah setiap nikmat yang diperolehi. Bersyukur dan berterima kasihlah kepada Allah Yang Maha Kuasa supaya nikmat itu akan terus dikekalkanNya seperti mengekalkan pemimpin yang sedia ada, kerajaan yang sedia ada supaya apa yang kita dapat itu akan berkekalan nikmatnya kepada kita dan akan di tambahkan lagi nikmatnya kelak. Orang yang bersyukur kepada Allah S.W.T akan memperbanyakkan ucapan syukur dan terima kasih kepadaNya dan mereka akan mengerjakan ketaatan kepada Allah dan akan membesarkan nikmat sekalipun nikmat itu kecil saja.

Tiada ulasan: