Ahad, 14 April 2013


Aku Janji BN Berpaksi Kemampuan Fiskal #ManifestoBN #PRU13 #GE13




Secara umum, manifesto membawa maksud pengisytiharan mengenai niat, motif atau pendirian seseorang, parti politik atau kerajaan mengenai sesuatu isu. Dalam konteks politik khususnya di negara ini, manifesto adalah komitmen atau janji sesebuah parti politik dengan rakyat, yang diumumkan menjelang pilihan raya umum. 

Selain faktor calon, manifesto memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan sesebuah parti dalam pilihan raya. Melalui manifestolah, rakyat bukan saja dapat melihat dasar dan pendirian sesebuah parti politik, malah menilai kemampuan mereka melaksanakannya. 

Disebabkan pentingnya manifesto dalam memberikan keyakinan kepada rakyat, pelbagai janji dan harapan ditawarkan parti politik. Begitupun, sejarah menunjukkan tidak semua dinyatakan dalam manifesto itu ditunaikan apabila parti terbabit memenangi pilihan raya. 

Ghairah menang 

Faktor utama kegagalan melaksanakannya ialah keghairahan untuk mendapatkan kemenangan sehingga sanggup menjanjikan apa saja tanpa melihat kemampuan menunaikannya. 

Dalam keghairahan mendapatkan kuasa, ada pemimpin dan parti politik bagaikan menafikan kebijaksanaan rakyat dalam menilai janji yang ditawarkan dan kemampuan melaksanakannya. Contoh terbaik tentunya kegagalan beberapa kerajaan negeri diperintah Pakatan Pembangkang menunaikan janji mereka sehingga ada kes rakyat membawanya ke mahkamah. 

Bagaimanapun, kerana manifesto adalah kontrak antara parti politik dengan rakyat, tiada undang-undang boleh menghukum parti yang gagal melaksanakan janji dalam pengisytiharan itu kecuali rakyat sendiri melalui peti undi. 
Justeru, amat penting bagi parti politik memahami dan memastikan sebarang janji yang dinyatakan dalam manifesto mereka, mesti mampu ditunaikan. Keperluan ini lebih mendesak sekarang kerana rakyat bukan saja semakin bijak dan lebih bermaklumat, tetapi meletakkan harapan tinggi dan kompleks kepada kerajaan. 

Menyedari hakikat inilah Manifesto Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak malam kelmarin, buat kali pertama dalam sejarah parti itu, mengambil pendekatan baru. 

Berbeza dengan manifesto BN sebelum ini, dokumen setebal 31 halaman bertemakan ‘Menepati Janji, Membawa Harapan’ itu menggariskan 17 komitmen merangkumi pelbagai projek dan program bakal dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang. 

Buat kali pertama juga, setiap halaman yang menggariskan program dan projek berkenaan, ungkapan ‘Dalam tempoh 5 tahun ini, kami berjanji untuk:’ tertera secara jelas bagi membuktikan komitmen BN apabila mendapat mandat baru nanti. 

Pencapaian terkini 

Sejajar dengan falsafah pentadbiran ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ diperkenalkan Najib sepanjang empat tahun lalu, manifesto itu turut menyatakan pencapaian terkini setiap program dan projek yang dijanjikan. 

Dengan kata lain, Manifesto BN kali ini bukan sekadar pernyataan komitmen tetapi kad laporan parti itu mengenai pencapaian pentadbiran pimpinan beliau selama empat tahun. 

Malah, Najib sendiri ketika berucap ketika melancarkan manifesto itu menyifatkannya sebagai dokumen ‘aku janji’ bagi memberi keyakinan kepada rakyat untuk mengundi BN. 

Ia mengandungi wawasan dan komitmen kerajaan bagi tempoh lima tahun akan datang untuk meneruskan program transformasi dengan matlamat membawa negara ke tahap lebih tinggi. 

“Saya tidak mahu kata manifesto kerana pembangkang kata manifesto bukan janji, sebab itu nama manifesto tidak berapa sesuai. Saya nak kata bukan manifesto tetapi aku janji kepada rakyat Malaysia,” katanya. 

Di sinilah letaknya perbezaan ketara antara manifesto pembangkang dengan aku janji BN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Sementara manifesto pembangkang lebih bersifat populis dengan pelbagai janji manis kepada rakyat, aku janji BN berpaksikan kemampuan fiskal dan kesan jangka panjang kepada rakyat dan ekonomi negara. 

Oleh kerana itu perbandingan terhadap dua manifesto ini perlu dibuat secara keseluruhan dengan mengambil kira kemampuan pelaksanaan dan rekod menunaikan janji. Lebih penting lagi, rakyat perlu menggunakan kewarasan dan kebijaksanaan, bukannya mengikut sentimen dan perasaan dalam menilai kedua-duanya.

Tiada ulasan: