Guan Eng Semai Politik Perkauman Dalam Gereja?
KUALA LUMPUR 6 Okt. - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, penganut Kristian tidak harus berdiam diri walaupun merasakan mereka 'tidak bersalah, suci dan tidak terlibat dalam perbuatan salah'.
Bercakap di hadapan 300 pemimpin gereja, Guan Eng berkata, walaupun penganutnya bertanggungjawab di hadapan Tuhan, penting untuk mereka menyuarakan 'keadilan untuk semua' - slogan yang juga menjadi seruan pakatan pembangkang.
"Gereja boleh memainkan peranan (menentang ketidakadilan) untuk mewujudkan masyarakat yang lebih kuat," katanya dalam program dialog di negeri itu semalam.
Beliau berkata demikian seperti mana disiarkan dalam portal berita, Malaysiakini.
Yang turut hadir, Exco negeri, Abdul Malik Abdul Kassim, Wong Hon Wai dan Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia Pulau Pinang, Bishop Emeritus Antony Selvanayagam.
Dalam sesi dua jam itu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP diminta berkongsi cabaran yang dihadapi dalam menangani isu-isu berkaitan gereja sejak mengambil alih pentadbiran negeri daripada Barisan Nasional (BN) pada 2008.
Sementara itu penulis blog BigDogDotCom ketika mengulas berita tersebut mendakwa gesaan Guan Eng dalam majlis berkenaan berbaur politik dan tidak sesuai diucapkan memandangkan program terbabit berkait rapat dengan kelompok pemimpin agama.
"Sebagai Setiausaha Agung DAP, Guan Eng menggunakan platform majlis berkenaan untuk menyemai agenda politik pembangkang. Ringkasnya, DAP menggunakan gereja sebagai platform politik," katanya sebagaimana dipetik dalam bigdogdotcom.wordpress.com, hari ini.
Menurut beliau, sekiranya gesaan yang dilakukan oleh Guan Eng itu dibuat bukan atas platform majlis keagamaan atau perhimpunan pemimpin gereja, maka prasangka DAP tidak menggunakan gereja boleh dielakkan.
"Namun dipercayai Guan Eng sengaja membuat kenyataan ini dalam ucapan majlis tersebut, demi mengukuhkan bahawa DAP memang menggunakan platform gereja bagi tujuan politik mereka," ujarnya.
Beliau berkata, pembangkang sering mengambil kesempatan menyemai bibit-bibit politik, terutama 'politik kebencian' yang kini telah pun memperlihatkan bagaimana masyarakat Malaysia semakin berpecah dan tidak bersatu padu.
Ujarnya, adalah amat bahaya apabila pembangkang terus-menerus menggunakan platform rumah ibadat dan majlis keagamaan demi menyebarkan pengaruh politik mereka.
"Perkara seperti ini semestinya akan mengundang reaksi termasuk orang ramai, sekiranya tiada tindakan oleh pihak berkuasa.
"Guan Eng sebagai Ketua Menteri sepatutnya menggunakan peluang semasa bertemu pemimpin gereja untuk menyuburkan sikap kesefahaman dan toleransi antara kaum dan kepercayaan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan