Tangani ekstremis agama - PM
KUALA LUMPUR 10 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semua pihak terutama para penghulu dan penggawa memainkan peranan membantu kerajaan menangani masalah sosial termasuk ekstremis agama supaya keamanan negara terus terpelihara.
Beliau berkata, peristiwa amuk oleh seorang lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai Imam Mahadi di Putrajaya semalam menjadi bukti kesan terhadap seseorang apabila terpengaruh dengan fahaman ekstrem dan ia boleh berlaku di mana-mana sahaja.
Katanya, seperti masalah sosial yang lain iaitu dadah dan keruntuhan akhlak di kalangan belia dan masyarakat, masalah ekstremis agama seharusnya tidak boleh dipandang ringan khususnya pemimpin setempat seperti penghulu dan penggawa.
"Para penghulu mempunyai peranan untuk membantu kita menangani masalah-masalah sosial seperti dadah dan keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat dan belia di kawasan mereka. Tidak kurang juga isu keagamaan dan fahaman-fahaman yang ekstrem.
"Tiba-tiba boleh timbul pula orang yang hendak menjadi Imam Mahadi dengan memegang pedang samurai boleh muncul di Putrajaya. Kalau boleh timbul di Putrajaya, boleh timbul di mukim tuan-tuan. Saya percaya boleh. Tidak lama dahulu ia pernah berlaku di Sauk, Perak," katanya.
Beliau berucap ketika menyempurnakan majlis penutup Seminar Memperkasakan Institusi Penghulu/Penggawa Semenanjung Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Yang Dipertua Persatuan Penghulu/Penggawa Semenanjung Malaysia, Ahmad Fuad Zainal Abidin.
Semalam di Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya gempar apabila seorang lelaki dan wanita mengamuk sambil melibas pedang samurai sehingga menyebabkan orang ramai dan penjawat awam lari bertempiaran menyelamatkan diri.
Bagaimanapun polis berjaya menggagalkan amukan tersebut dengan menembak kedua-keduanya selepas mereka terus menyerang walaupun telah dipujuk beberapa kali oleh pihak berkuasa.
Perdana Menteri berkata, hakikatnya isu serta masalah yang berlaku ketika ini begitu kompleks dan ia perlu ditangani dengan bijak.
Selain itu, Najib berkata, penghulu dan penggawa juga merupakan rakan baik kerajaan khususnya dalam peranan mereka menjayakan setiap program untuk membantu rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Klinik 1Malaysia.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua penghulu serta penggawa agar sentiasa bersikap adil kepada rakyat dan bukan mementingkan orang di sekeliling mereka sahaja.
"Sebagai pemimpin kita mesti berlaku adil. Jangan tumpukan puak atau orang di sekeliling kita sahaja. Kita mesti utamakan kepentingan rakyat. Insya-Allah dengan cara ini mampu menaikkan imej penghulu. Perlu diingat ada penduduk yang pernah menghantar petisyen untuk tukar penghulu kerana tidak ambil berat tentang isu rakyat," ujarnya.
Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh mengenai pentingnya penghulu atau penggawa sekiranya ada yang bercita-cita menjadi calon supaya menjaga sikap supaya tidak keterlaluan.
"Ada cita-cita untuk jadi Yang Berhormat tidak mengapa, tidak ada masalah tetapi jangan terlalu beriya. Kita perlu bersikap sederhana, berpada-pada. Sekalipun ada cita-cita jangan keterlaluan. Jangan nama belum naik, sudah tempah jaket, ada rezeki insya-Allah," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan