Isnin, 18 Mei 2015

Yang Dipertuan Agong Lakukan Penerbangan Rasmi ACJ 320





Pesawat Eksekutif Airbus Corporate Jetliner (ACJ 320) yang baru diperoleh Kerajaan, hari ini melakukan penerbangan rasmi yang pertama dengan membawa Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Pesawat ACJ 320 itu membawa Yang di-Pertuan Agong ke Pulau Langkawi. Ia berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada jam 10 pagi.

Perolehan pesawat ACJ 320 itu bagi menggantikan Boeing Business Jet (BBJ) yang berusia 16 tahun dan kini dalam proses pelupusan.

Keputusan menggantikan BBJ dibuat pada tahun 2013 memandangkan kos penyelenggaraannya semakin meningkat berikutan faktor usia dan risiko keselamatan.

Pesawat ACJ 320 itu tiba di Kuala Lumpur pada 6 Mei 2015 setelah berlepas dari Hamburg, Jerman dan berhenti di Almaty, Kazakhstan selama sejam bagi mengisi bahan bakar.

Pesawat berkenaan membawa sembilan anak kapal dan dua pegawai kanan Jabatan Perdana Menteri yang ditugaskan bagi memastikan pesawat yang diterima berada dalam keadaan baik dan menepati spesifikasi perjanjian pembelian.

Laluan Hamburg - Almaty - Subang dicadangkan sebagai laluan berdasarkan keadaan cuaca pada masa itu.

Penerbangan itu juga menggunakan ruang udara China berdasarkan keadaan angin dan ketinggian awan, berbanding ruang udara Afghanistan.

Selain ACJ 320, tiga lagi pesawat Eksekutif Kerajaan ialah ACJ 319 yang diperolehi pada tahun 2007, manakala dua lagi pesawat bersaiz lebih kecil iaitu Falcon pada 1989 dan Global Express pada 2001.

Pesawat khas kerajaan diperuntukkan untuk kegunaan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan, pesawat berkenaan juga boleh diluluskan untuk kegunaan Sultan-sultan, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri, tetamu-tetamu kerajaan Persekutuan dari negara asing, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta orang-orang kenamaan.

JABATAN PERDANA MENTERI
17 Mei 2015

Tiada ulasan: