Selasa, 3 September 2013

Harga Minyak Sudah Naik, Harga Barang Kalau Naik, Apa Rakyat Perlu Lakukan?



Harga minyak sudah naik  RM0.20 sen. Ketika era Dato Seri Najib, harga minyak bertukar sebanyak 4 kali. 

Pada 1 September 2009, harga turun RM0.90 dari RM2.70 menjadi RM1.80. Kemudian naik sebanyak 10 sen kepada RM1.90 pada 4 Disember 2010 sehinggalah semalam. Kalau dibanding, masih lagi murah RM0.60 berbanding harga RM2.70 pada 4 Jun 2008. Jika dilihat trend ini, apakah selepas ini akan diturunkan semula?



Jika dilihat pada harga minyak dunia, dijangkakan harga minyak akan naik USD$123 per tong dalam tempoh tahun ini berbanding harga sekarang USD$107.65. Apakah pengurangan subsidi sebanyak RM0.20 sen ini adalah berdasarkan harga minyak dunia ini?

Minyak yang naik tidak semestinya memberi lesen automatik untuk harga barang yang lain juga naik. Jangan biarkan ada orang yang ambil kesempatan untuk simbah lagi minyak kemarahan kepada rakyat dengan kenaikan harga yang tidak munasabah.

Kerajaan perlu mengawal harga barangan. Pada akhir zaman ini, banyak perkara yang berlaku.

Membuat keputusan yang tidak popular akan menyebabkan ramai yang marah dan hilang pertimbangan. Apa pun yang terjadi kita perlu merenung kembali sejarah kenaikan harga barang yang berlaku ketika zaman Rasulallah SAW.

Ketika terjadi kenaikan harga sahabat-sahabat r.a. bertanyakan kepada Baginda SAW:-

“Wahai Rasulallah, harga-harga barang banyak yang naik, maka tetapkan keputusan yang mengatur harga barang.”

Jawab Baginda SAW; 
"Sesungguhnya Allah adalah Dzat yang menetapkan harga, yang menyempitkan dan melapangkan rezeki, Maha Pemberi rezeki. Sementara aku berharap dapat berjumpa dengan Allah dalam keadaan tidak ada seorang pun dari kalian yang menuntutku disebabkan kezalimanku dalam urusan darah maupun harta.”

(Riwayat Ahmad, Abu Daud, Turmudzi, Ibnu Majah)

(1) Sesungguhnya Allah Dzat Yang Mentakdirkan Semua Harga. (Tauhid Af'al)

(2) Sesungguhnya Kenaikan Harga Tidak Mempengaruhi Rezeki Seseorang.

Rezeki, ajal maut & jodoh pertemuan adalah rahsia Allah. Yakinlah, rezeki yang Allah tetapkan tidak akan bertambah maupun berkurang. Meskipun harga barang meningkat, itu sama sekali tidak akan mengganggu rezeki kita yang telah ditetapkan. Paling penting kita kena berusaha dan jangan terlalu banyak menyalahkan pihak lain semata mata. Berusaha dan bertawakal.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala :

“Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Ia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata.
(Surah Asy-Syuura, ayat 27)


Setiap sesuatu yang pasti sumbernya akan habis pasti akan habis. Mana mungkin harga emas hitam tersebut akan turun dalam pasaran di masa akan datang. Moga ini boleh dijadikan renungan bersama. 

Tiada ulasan: