Kenyataan Media Dato Seri @NajibRazak Berhubung Perletakan Jawatan Lajim Ukin
KUALA LUMPUR, 3 Ogos -- Berikutan perletakan jawatan Datuk Seri Lajim Ukin sebagai Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Beaufort dan pengerusi BN Beaufort , Presiden parti merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa kedudukan Barisan Nasional (BN) tidak tergugat dan mampu menangani cabaran tersebut.
Katanya, biarpun setakat ini pelbagai khabar angin dan desas-desus tersebar tetapi BN akan melaksanakan langkah yang sesuai untuk terus kukuhkan kedudukan parti.
"Ekoran perletakan jawatan Datuk Seri Lajim maka Timbalannya, Isnin Aliasnih akan mengambil alih jawatan sebagai pemangku Ketua UMNO Bahagian Beaufort dan juga memutuskan Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) Sabah mengawasi perjalanan UMNO Beaufort dan memberi apa-apa juga bantuan yang diperlukan oleh bahagian ini untuk memastikan kekuatan UMNO dan BN tidak terjejas," katanya.
Dalam hal ini, beliau menganggap kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan ada lagi wakil rakyat BN yang akan menyertai pakatan pembangkang adalah kebiasaan Anwar sebagai ketua pembangkang.
"Itu memang kerja dia (Anwar), yang akan janji macam-macam. Kita akan membuat langkah-langkah yang sesuai untuk memulihkan UMNO dan memantapkan lagi kedudukan BN."
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di ibu pejabatnya, Menara Dato Onn, hari ini.
UMNO telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Lajim berkuat kuasa 30 Julai dan perlu dijawab dalam tempoh dua minggu sebagaimana proses dalam Perlembagaan parti.
Turut dibincangkan dalam mesyuarat MT adalah langkah-langkah yang sedang diambil oleh kerajaan khususnya berkaitan dengan Pelan Transformasi Pendidikan.
"Hari ini kita mendapat penerangan daripada Timbalan Presiden yang juga Menteri Pelajaran berhubung dengan Pelan Transformasi Pendidikan yang sedang diusahakan yang mana proses dialog secara menyeluruh dan terbesar pernah diadakan berlangsung dalam tempoh selama enam bulan.
"Pagi tadi kabinet telah mengadakan satu 'workshop' khas untuk membincangkan cadangan dan pelan tersebut dan kabinet telah memberi sokongan dan begitu juga MT yang turut memberi sokongan untuk kerajaan melakukan sesuatu penyusunan semula kepada sitem pendidikan kita supaya kita mencapai satu lonjakan pencapaian yang luar biasa," terangnya yang turut memaklumkan bahawa butiran berkaitan pelan tersebut akan diumukan pada 11 September nanti. - MediaUMNO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan