FADHILAT QURBAN DAN AQIQAH
Kedua-dua ibadah ini adalah antara
amalan mulia dan penting dalam Islam kerana amat besar fadhilatnya, tetapi
malangnya masih ramai orang yang samar-samar atau kabur kefahaman menerka
mengenainya, sehinggakan ada yang memandang ringan walaupun mempunyai kemampuan
tetapi tidak mahu melakukan penyembelihan qorban dan aqiqah ini. Semoga dengan
penjelasan yang serba sedikit ini dapat membantu kefahaman kita semua tentang
ibadat Qurban serta Aqiqah serta keinginan untuk sama-sama mencari pahala kedua
ibadah ini akan meningkat.
Apakah sebenarnya qurban dan aqiqah
itu? Apakah hukum melakukannya? Berapa
kali kita dituntut melakukan qurban sepanjang hayat kita?
Apakah syarat-syarat binatang yang
dikorbankan? Apakah perbezaan antara qurban dan aqiqah? Bolehkah seekor lembu
dikongsi sebahagian untuk qurban dan sebahaian untuk aqiqah? Apakah hikmah atau
faedah yang bakal diperolehi kerana melakukan kedua-dua ibadah
itu?
Demikianlah antara masalah yang akan cuba kita kupas serta
perjelaskan dibahagian ini dan disamping itu akan dijelaskan beberapa perkara
berkaitan dengan ibadah kurban dan aqiqah, semoga memberi kefahaman yang jelas
hingga kita dapat menghayatinya dengan penuh keimanan kerana menjunjung perintah
Allah s.w.t. dan mendapat fadhilat daripada
amalan yang akan kita lakukan ini.
PENYEMBELIHAN QURBAN
Qurban ialah penyembelihan binatang
qurban yang dilakukan pada Hari Raya Haji (selepas solat 'Idil Adhha) dan
hari-hari Tasyriq iaitu ,11,12 dan 13 Zulhijjah kerana beribadah kepada Allah s.w.t. , iaitu sebagai menghidupkan syariat
Nabi Allah Ibrahim a.s. yang kemudiannya disyariatkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Firman Allah
s.w.t. yang bermaksud:
"Dan telah Kami
jadikan unta-unta itu sebahagian daripada syi'ar Allah, kamu memperolehi
kebaikan yang banyak daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu
menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah diikat). Kemudian apabila telah
roboh (mati), maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela
dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta.
Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu
bersyukur." (surah al-Haj:36)
"Maka dirikanlah
solat kerana Tuhanmu dan berqurbanlah." (Surah
al-Kauthar:2)
Daripada Aisyah r.a Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
"Tiada suatu amalan yang dilakukan oleh manusia pada Hari
Raya Qurban, yang lebih dicintai Allah selain daripada menyembelih haiwan
qurban. Sesungguhnya haiwan qurban itu pada hari kiamat kelak akan datang
berserta dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya, dan
sesungguhnya sebelum darah qurban itu menyentuh tanah, ia (pahalanya) telah
diterima disisi Allah, maka beruntunglah kamu semua dengan (pahala) qurban
itu." (Riwayat al-Tarmuzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)
Zaid bin Arqam berkata: "Mereka telah
bertanya, Wahai Rasullullah, apakah Udhhiyah
(Qurban) itu? Nabi Muhammad s.a.w.
menjawab: "Ia sunnah bagi bapa kamu Nabi
Ibrahim." Mereka bertanya lagi: Apakah ia untuk kita? Rasulullah s.a.w. menjawab: "Dengan tiap-tiap helai bulu satu kebaikan." Mereka
bertanya: "maka bulu yang halus pula? Rasullullah s.a.w
bersabda yang bermaksud "Dengan tiap-tiap
helai bulu yang halus itu satu kebaikan." (Riwayat Ahmad dan Ibnu
Majah)
HUKUM BERQURBAN
Hukumnya Sunnat
Muakkad (Sunnat yang dikuatkan) atas orang yang memenuhi
syarat-syarat seperti berikut:
-
Islam
-
Merdeka (Bukan hamba)
-
Baligh lagi berakal
-
Mampu untuk berqurban
Sabda Rasullullah s.a.w yang
bermaksud:
"Aku disuruh berqurban dan ia sunnat
bagi kau." (Riwayat al-Turmuzi).
"Telah diwajibkan kepada ku qurban dan
tidak wajib bagi kamu." (Riwayat Daruqutni)
Walaupun hukum berqurban itu sunnat
tetapi ia boleh bertukar menjadi wajib jika dinazarkan. Sabda Rasullullah s.a.w yang bermaksud: "Sesiapa yang bernazar untuk melakukan taat kepada Allah, maka
hendaklah dia melakukannya." (Sila Rujuk: Fiqh
al-Sunnah)
PERLAKSANAAN QURBAN
-
Binatang yang diqurbankan daripada jenis unta, lembu atau kerbau, kambing biasa yang berumur dua tahun, jika biri-biri telah berumur satu tahun atau telah gugur giginya sesudah enam bulan meskipun belum cukup satu tahun.
-
Binatang itu disyaratkan tidak cacat, tidak buta sebelah atau kedua-duanya, kakinya tidak pincang, tidak terlalu kurus, tidak terpotong lidahnya, tidak mengandung atau baru melahirkan anak, tidak berpenyakit atau berkudis. Binatang yang hendak disembelih itu mestilah sihat sehingga kita sayang kepadanya.
-
Waktu menyembelihnya sesudah terbit matahari pada Hari Raya Haji dan sesudah selesai solat 'Id dan dua khutbah pendek, tetapi afdhalnya ialah ketika matahari naik segalah pada Hari Raya Hhaji sehingga tiga hari sesuadah Hari Raya Haji (hari-hari Tastriq iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah)
-
Daging qurban sunnat, orang yang berkorban disunnatkan memakan sedikit daging qurbannya. Pembahagian daging qurban sunnat terdapat tiga cara yang utamanya adalah mengikut urutan sepererti berikut:
-
Lebih utama orang yang berqurban mengambil hati binatang qurbannya dan baki seluruh dagingnya disedekahkan
-
Orang yang berqurban itu mengambil satu pertiga daripada jumlah daging qurban, dua pertiga lagi disedekahkannya.
-
Orang yang berqurban mengambil satu pertiga daripada jumlah daging, satu pertiga lagi disedekahkan kepada fakir miskin dan satu pertiga lagi dihadiahkan kepada orang yang mampu. Sabda Rasullullah s.a.w: "Makanlah oleh kamu sedekahkanlah dan simpanlah."
HIKMAH DAN FADHILAT
-
Menghidupkan sunnah Nabi Allah Ibrahim a.s.
-
Mendidik jiwa kearah takwa dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
-
Mengikis sifat tamak dan mewujudkan sifat murah hati mahu berbelanja harta kejalan Allah s.w.t.
-
Menghapuskan dosa dan mengharap keredhaan Allah s.w.t.
-
Menjalinkan hubungan kasih sayang sesama manusia terutama antara golongan berada dengan golongan yang kurang bernasib baik.
-
Akan memperolehi kenderaan atau tunggangan ketika meniti titian al-Sirat al-Mustaqim diakhirat kelak. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Muliakanlah qurban kamu kerana ia menjadi tunggangan kamu dititian pada hari kiamat."
AQIQAH UNTUK ANAK
Aqiqah pengertian dari segi bahasa
ialah rambut dikepala kanak-kanak. Sementara
pengertian aqiqah dari segi syara ialah binatang yang
disembelih pada hari mencukur rambut bayi. Aqiqah sebagai ibadah yang
telah disyariatkan oleh Allah s.w.t.
sebagaimana penjelasan Rasulullah s.a.w.
dengan sabdanya yang bermaksud: "Setiap anak yang lahir
itu terpelihara dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ketujuh
(daripada hari kelahirannya), dicukur dan diberi nama." (Riwayat Abu
Dawud, al-Turmuzi dan Ibnu Majah)
Ibnu Majah menerangkan maksud "...
terpelihara dengan aqiqahnya..." (pada mafhum hadis diatas) adalah bahawa
aqiqah itu sebagai sebab yang melepaskan kanak-kanak tersebut daripada gangguan
syaitan yang cuba menghilangkan daripadanya melakukan kebaikan.
Daripada Salman bin Amir al-Dhabley,
bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang
bermaksud: "Untuk anak lelaki itu aqiqahnya. Tumpahkan
atasnya darah dan hilangkanlah daripadanya kekotoran dan najis."
(Riwayat Abu Daqud, al-Turmuzi dan Ibnu Majah).
Menurut Imam Ahmad bin Hambal, bahawa
apabila seseorang kanak-kanak itu mati dalam keadaan belum diaqiqahkan lagi,
maka anak itu tidak dapat mensyafaatkan kedua-dua orang tuanya diakhirat
kelak.
HUKUM AQIQAH
-
Hukum aqiqah itu adalah sama dengan ibadah qurban iaitu Sunnat Muakkad kecuali dinazarkan menjadi wajib.
-
Penyembelihan aqiqah ialah pada hari ketujuh dari kelahiran bayi atau pada hari ke empat belas atau ke dua puluh satu. Jika tidak dapat maka bila-bila masa selagi anak itu belum baligh.
-
Jika anak telah baligh, maka gugur tuntutan atas walinya dan sunnat bagi dirinya (individu yang berkenaan) mengaqiqahkan untuk dirinya sendiri. Hal ini berdasarkan hadis dari Ahmad, Abu Dawud dan al-Tabrani, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah mengaqiqahkan dirinya sendiri sesudah Baginda s.a.w. diangkat menjadi Rasul.
-
Anak zina, aqiqahnya sunnat atas ibunya kerana nafkah hidup anak zina itu tanggungan ibunya bukan bapanya. Demikian pendapat Syaikh Ibnu Hajar dan Syaikh Ramli, manakala Khatib Syarbini pula berpendapat, adalah tidak sunnat bagi ibu mengaqiqahkan anak zinanya meskipun si ibu memberi nafkah kepadanya.
-
Anak lelai disembelihkan dua ekor kambing (tetapi sah sekiranya seekor) dan perempuan memadai dengan seekor kambing. Diriwayatkan daripada Aisyah, bahawa Rasulullah s.a.w. memerintahkan para sahabat agar menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang umurnya sama dan untuk anak perempuan seekor kambing. (Riwayat al-Turmuzi). Daripada Ibnu Abbas r.a. pula menyatakan. bahawa Rasullullah s.a.w. menyembelih aqiqah untuk Hasan dan Husin masing-masing dengan seekor kambing. (Riwayat Abu Dawud)
HUKUM-HUKUM YANG LAIN BERKAITAN DENGAN
QURBAN DAN AQIQAH
-
Jika menyembelih qurban sendiri hendaklah berniat: "Aku jadikan binatang ini qurban untuk diriku kerana Allah Ta'ala" dan seumpamanya, atau jika penyembelihan aqiqah berniat : "Aku jadikan penyembelihan binatang ini sebagai aqiqah untuk anakku kerana Allah Ta'ala."
-
Jika untuk tolong kepada orang lain maka hendaklah berakad iaitu dengan dua cara:
1) Secara wakil, maka orang yang mewakilkan berkata:
"Aku wakilkan atas diriku untuk menghasilkan
penyembelihan qurban untuk diriku (atau aqiqah untuk anak ku...)."
Orang yang menerima wakil menjawab: "Aku terima sebagai
wakil untuk menghasilkan penyembelihan qurban untukmu (atau aqiqah untuk
anakmu...)." (PERINGATAN: Orang yang menerima wakil hendaklah
melaksanakan penyembelihan dan tidak boleh diserahkan tanggungjawab menyembelih
kepada orang lain).
2) Secara menyerahkan tanggungan dengan berkata:
"Saya meletakkan atas zimmah tanggungan tuan untuk
menghasilkan penyembelihan qurban untuk ku (atau aqiqah untuk anakku)."
(PERINGATAN: Penerima jika tidak dapat
menyempurnakan tanggungjawab yang diterima, boleh diserahkan kepada orang lain
untuk menyempurnakan penyembelihan untuk orang-orang yang berakad tadi).
-
Daging qurban sunnat disedekahkan kepada fakir miskin atau dihadiahkan kepada orang yang mampu dalam bentuk masih mentah tetapi aqiqah sunnat dimasak dengan masakan jenis manis seperti kurma, kicap dan sebagainya.
-
Binatang unta, lembu atau kerbau boleh dikongsi sebhagian untuk qurban dan sebahagian untuk aqiqah.
-
Disunnatkan tulang-tulang binatang qurban itu tidak dipatahkan atau dipecahkan sama ada oleh orang yang mengaqiqahkan atau yang memakannya. Cuma hendaklah diceraikan pada setiap persendian tulang. Sekiranya dipecahkan juga maka tidaklah pula makruh, tetapi khilaf aula (yakni bersalahan dengan yang utama).
-
Daging aqiqah atau qurban atau mana-mana bahagian dari binatang (seperti kulit, tulang dan sebagainya) tidak boleh dijadikan upah kepada orang yang menyembelih dan orang-orang yang menguruskan pemotongan. Upah untuk mereka jika diperlukan, maka hendaklah diberi dalam bentuk wang atau harta benda yang lainnya.
-
Orang kafir tidak boleh diberi makan daging aiqah atau daging qurban, sekiranya telah diberi umpamanya sekilo, maka wajib diganti dengan daging yang lain untuk memenuhi daging yang kurang itu.
-
Daging atau mana-mana bahagian dari binatang qurban nazar atau aqiqah, haram dimakan atau diambil oleh orang yang melakukannya.
QURBAN DAN AQIQAH
BERAMAI-RAMAI
Sekarang ini ada pihak tertentu seperti
Masjid, Surau atau badan kebajikan dan orang perseorangan menganjurkan majlis
Qurban dan Aqiqah secara beramai-ramai. Pada dasarnya amalan ini baik demi
menggalakkan masyarakat Islam melakukan kedua-dua ibadah yang sangat dituntut
dalam Islam (Sunnat Muakkad). Namun yang
demikian, beberapa syarat berikut ini hendaklah dipatuhi:
-
Pengurusan hendaklah dilakukan dengan betul, dengan penuh amanah dan tanggungjawab.
-
Harga yang dikenakan hendaklah dinyatakan termasuk kos pengurusan (Penyembelihan, kenderaan, upah menyembelih, melapah dan sebagainya jika memerlukan upah).
-
Hendaklah diadakan aqad atau ijab dan qabul antara orang yang melakukan qurban atau aqiqah dengan pihak pelaksana (AJK Qurban/ Aqiqah atau AJK Masjid/ Surau/ Badan Kebajikan/ Orang perseorangan).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan